Tuesday, 16 August 2016

KOMUNIKASI VERBAL DAN NON-VERBAL

Share it Please
DEFINISI KOMUNIKASI


        Komunikasi merupakan seni interaksi antara satu sama lain dalam sesebuah masyarakat. Komunikasi juga merupakan satu proses yang membolehkan pihak-pihak yang terlibat saling memahami antara satu sama lain. Ia melibatkan keseluruhan fungsi organisasi terhadap pemimpin mahupun orang bawahnya iaitu pekerja. Ia juga merupakan satu proses  untuk bertukar-tukar mesej dalam hubungan yang saling bergantung antara satu sama lain .
        Sebagai makhluk sosial, seseorang individu  perlu berhubung dan berinteraksi dengan individu yang lain. Hubungan baik yang terjalin dalam masyarakat memerlukan komunikasi sebagai nadi yang penting dalam kehidupan dan organisasi. Oleh itu, komunikasi seharusnya dikendalikan dengan cekap, adil serta difahami dengan jelas oleh seseorang pengurus atau penyelia agar ianya menjadi lebih efektif dalam sesebuah organisasi kerja .
        Komunikasi juga boleh diertikan sebagai perpindahan maklumat, idea, kefahaman atau perasaan manusia. Aktiviti komunikasi merupakan aktiviti yang berlaku setiap hari dalam kehidupan kita. Selagi manusia itu hidup, selagi itulah keperluan untuk berkomunikasi akan terus wujud. Komunikasi amat penting untuk kejayaan organisasi .

 MEKANISME DALAM KOMUNIKASI

KOMUNIKASI LISAN (VERBAL)

Komunikasi lisan (verbal) merupakan teknik asas yang sangat memberi kesan dan impak yang sangat besar kepada pemimpin dan orang yang dipimpin . Komunikasi secara lisan adalah mesej yang disampaikan secara percakapan . Komunikasi secara lisan boleh dilakukan secara berhadapan atau tidak berhadapan seperti menerusi telefon dan sebagainya .

Contoh-contoh komunikasi lisan (verbal) ialah :

    1.      Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merupakan perkara yang sangat penting dalam komunikasi . Seorang pemimpin yang baik ialah seorang ketua yang mempunyai kemahiran mendengar apa-apa sahaja yang ingin dikatakan oleh kakitangannya . Pendengar yang baik akan sentiasa memberi fokus kepada apa yang didengarnya dan berusaha mendengar dengan bersungguh-sungguh dan cuba berusaha memahami apa yang didengarnya . Untuk menjadi pendengar yang baik , amalan mencelah tidak digalakkan supaya maklumat penting yang ingin disampaikan tidak hilang .

    2.      Kemahiran Berbicara dan Berbahasa
Dalam komunikasi seharian , kita perlulah menguasai selok-belok berbicara dan berbahasa dengan baik . Kemahiran berbicara dapat menimbulkan kuasa pengaruh khususnya kepada pemimpin . Bahasa yang baik lebih mudah diterima dan memberi kesan yang mendalam kepada pendengarnya .

Tujuh (7) kemahiran berbicara dan berbahasa yang boleh diguna pakai semasa berkomunikasi . Antaranya ialah :
a)      Menggunakan bahasa yang mudah difahami
Aspek ini perlu ditekankan kerana tidak semua anggota yang berada di sesebuah organisasi mempunyai tahan ilmu yang sama. Penggunaan Bahasa yang kurang difahami menyukarkan komunikasi.
b)     Isi bicara hendaklah benar
Kebenaran semasa berbicara amat penting kerana ianya merupakan sumber kredibiliti seseorang pemimpin .Perbualan yang dikemukakan hendaklah benar dan tidak direka-reka .
c)      Nada suara yang terkawal
Nada suara memainkan peranan yang penting dalam berbicara. Justeru, seseorang pemimpin perlulah mengelakkan nada suara bersifat mengarah, malah digalakkan pendekatan secara membimbing .
d)     Berhujah dengan waras
Dalam situasi ini , pemimpin perlulah berusaha mengelakkan sesuatu isu yang boleh menyebabkan pertelingkahan. Ini kerana tujuan berhujah bukanlah untuk kemenangan sebaliknya untuk mencari kebenaran.
e)      Mengelakkan celaan dan mengumpat
Di dalam berkomunikasi, kita tidak seharusnya mencari kesalahan dan mendedahkan keaiban orang lain. Sebaliknya, berusaha mencari keistimewaan dan kekuatan orang lain untuk dicontohi.
f)       Bercakap dengan lemah lembut
Pemimpin haruslah bercakap dengan lemah lembut dan sopan. Ini kerana ianya dapat menyubur dan mengeratkan kasih sayang. Allah telah menekankan  kepada manusia untuk berbicara dengan perkataan yang baik dan membiasakan diri dengan ucapan-ucapan yang baik .
g)      Menyebut perkara yang penting berulang kali
Tindakan ini diamalkan bagi memastikan para pendengar betul-betul jelas dan dapat memahami apa yang disampaikan dengan baik. Prinsip ini amat bersesuaian dengan apa yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Apabila Baginda memperkatakan sesuatu perkara yang penting dan rumit, Baginda akan mengulanginya sebanyak 3 kali . 

KOMUNIKASI BUKAN LISAN (NON-VERBAL)

Komunikasi bukan lisan didefinasikan sebagai penggunaan ekspresi muka, pergerakan anggota, posisi badan dan sentuhan fizikal yang boleh memberikan makna atau mesej yang tertentu . Dalam erti kata lain , semua mesej yang disampaikan selain daripada percakapan dan tulisan adalah mesej  bukan lisan .
Terdapat tiga (3) contoh komunikasi bukan lisan , antaranya :

·         Contoh tauladan yang baik
Pemimpin yang baik merupakan sumber bagi contoh tauladan yang baik dalam organisasi . Aspek penting yang boleh dijadikan landasan bagi teladan yang baik ialah akhlak yang baik dan tindakan yang selari dengan kata-kata . Oleh itu, akhlak seseorang pemimpin lebih dipandang dan menjadi ikutan orang yang dibawah arahan dan pengaruh kepimpinannya . Antara sifat yang menggambarkan tauladan yang baik ialah sabar dan pemaaf. Contoh ini telah ditunjukkan oleh junjungan besar Rasulullah S.A.W. dalam komunikasi Baginda bersama para sahabat .

·         Penampilan diri, personaliti dan bahasa badan
  • Penampilan diri seseorang individu merujuk kepada mesej yang disampaikan secara bukan lisan , menerusi cara dan gaya penampilan serta personaliti seseorang individu. Sebagai contoh, cara berpakaian oleh seseorang individu akan memberikan mesej secara bukan lisan kepada orang lain. Pemilihan warna pakaian juga memberi mesej secara bukan lisan yang menggambarkan personaliti seseorang.
  • Pergerakan badan atau ‘body language’ terutamanya ekspresi muka dan pandangan mata boleh memberikan mesej kepada penerima mengenai diri seseorang individu. Pandangan mata atau ‘eye contact’ mempunyai kesan yang besar dalam komunikasi. Dalam proses komunikasi, posisi badan juga memberi isyarat mengenai minat dan keyakinan individu. Selain itu , pergerakan badan seperti pergerakan tangan dan kaki juga boleh menggambarkan sifat yakin atau kurang yakin seseorang.

·         Pendekatan Psikologi
Psikologi ialah kajian terhadap jiwa dan roh seseorang manusia dan selalunya dikaitkan dengan tingkahlaku. Antara cara yang boleh digunakan oleh pemimpin ialah dengan memberikan pujian , ucapan penghargaan dan memahami perasaan orang lain.

ETIKA KOMUNIKASI DALAM ISLAM 

Bagi pengurus dan pekerja Muslim, Islam telah menggariskan panduan tersendiri yang perlu diikuti dan dipatuhi oleh mereka. Terdapat 9 panduan yang menjadi etika komunikasi dalam Islam :

Mulakan dengan salam
Apabila seseorang Islam bertemu dengan orang lain, beliau mestilah memulakan komunikasi dengan salam, begitu juga antara pengurus dengan pekerja Islam yang lain.
Bercakap benar
Seseorang pengurus perlu bercakap benar dan jujur apabila memberitahu pekerja tentang sesuatu perkara berkaitan dengan organisasi. 
Bercakap apabila perlu
Seseorang hanya perlu bercakap untuk perkara tertentu sahaja. Dengan itu, seorang Islam tidak digalakkan berbual kosong .
Elakkan daripada menjatuhkan air muka seseorang
Apabila bercakap, seseorang itu tidak boleh menjatuhkan air muka pendengar seperti pengurus mendedahkan kelemahan peribadi seorang pekerja di khalayak ramai .
Jangan menggunakan bahasa kasar dan lucah
Seorang Islam apabila bercakap, tidak boleh menggunakan bahasa kasar dan lucah yang boleh menyinggung si pendengar .
Panggil nama pendengar dengan nama yang disukainya
Seseorang Islam tidak boleh memanggil nama pendengar dengan nama yang tidak disukainya.
Hormati pendengar
Tidak meninggikan suara, bercakap dengan bahasa yang sopan dan beradab apabila bercakap di majlis .
Mulakan majlis dengan bacaan surah al-Fatihah
Seorang Islam apabila memberikan ceramah ataupun menjadi pengacara sesatu majlis yang dihadiri oleh orang Islam, maka beliau perlu memulakan majlis dengan bacaan surah al-fatihah
Tutup majlis dengan tasbih kaffarah dan bacaan surah al-Asr
Di dalam suatu majlis yang dihadiri oleh orang Islam, individu perlu menutup majlis tersebut dengan tasbih kaffarah dan bacaan surah al-Asr .

RUMUSAN

Kesimpulanya, rumusan daripada topik ini komunikasi dalam sesebuah organisasi banyak berkait rapat dengan cara komunikasi seorang pengurus, orang bawahanya serta pihak luar. Komunikasi dalam organisasi boleh dijalankan dengan baik serta perancangan yang rapi melalui komunikasi lisan atau bukan lisan. Menurut konteks Islam, komunikasi perlu bersendikan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah tanpa mengetepikan hak-hak nilai kemanusia yang patut dijaga dalam komunikasi. Eleman ini dapat dijalankan dengan baik dan efisien dan dapat mencari penyelesaian kepada permasalahan yangf timbul secara professional.

1 comment:

Pages

Designed by DPM2 PMJ | Supirman