Tuesday, 16 August 2016

DEFINISI DAN ETIKA KERJA DALAM ISLAM

Share it Please
DEFINISI ETIKA

           Pengertian etika (Etimologi), berasal dari bahasa Yunani, iaitu ethos yang bererti watak kesusilaan atau adat kebiasaan (custom). Etika biasanya dikaitkan dengan perkataan moral yang merupakan istilah dari bahasa Latin, iaitu mos dan dalam bentuk jamaknya ialah mores. Istilah ini bererti adat kebiasaan atau cara hidup sesorang adalah dengan melakukan perbuatan yang baik (kesusilaan) dan menghindari hal-hal yang buruk. 
           Etika juga boleh diterjemahkan sebagai peraturan adat budi bahasa atau peraturan adat antara manusia dengan profesionnya. Ettika boleh dianggap sebagai akhlak dalam Islam. Akhlak ialah budi pekerti, perangai tingkahlaku atau perbuatan seseorang.

 ETIKA KERJA ISLAM

           Etika kerja Islam hampir sama dengan konsep akhlak. Namun, etika ini berbeza dengan konsep moral yang dibawa oleh barat. Perbezaan yang paling ketara ialah segala dasar yang digariskan dalam etika kerja Islam telah ditetapkan dan ditentukan dalam al-Quran dan Sunnah.


Etika kerja Islam secara ringkasnya adalah seperti yang berikut:

Etika kerja untuk semua peringkat.
  1. Objektif jangka panjang di dunia ini hendaklah dihubungkaitkan dengan objektif jangka panjang yang sebenar, iaitu beribadah kepada Allah dan memohon keredhaan-Nya.
  2. Nilai-nilai agama dan moral hendaklah diambil kira semasa bekerja.
  3. Masa mestilah digunakan dengan sebaiknya dan bukan untuk disia-siakan.
  4. Nilai-nilai luhur dalam etika Islam seperti amanah, dedikasi, disiplin, kejujuran, menahan diri daripada perkara mungkar dan ketakwaan kepada Allah.
  5. Sikap menilai diri sendiri mestilah sentiasa diamalkan supaya kesalahan atau kesilapan tidak dilakukan berulang kali.
Etika kerja yang lebih relevan kepada pucuk pimpinan dalam pentadbiran
  1. Tidak harus ada sifat pilih kasih atau diskriminasi dalam sistem pentadbiran.
  2. Keperluan dan keadaan manusia hendaklah dipertimbangkan dalam memberi sesuatu tugas dan layanan kepada para pekerja.
  3. Gaji yang adil hendaklah dibayar pada masa yang ditetapkan.
  4. Perlu ada ganjaran yang berpatutan untuk pencapaian yang cemerlang dan langkah-langkah yang cukup untuk mengesan dan mengelakkan pelanggara peraturan.
  5. Musyawarah dan kerjasama seharusnya diamalkan.

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung pada etika yang dipegang dan diamalkan. Segala kejayaan seseubuah organisasi akan ditentukan oleh sikap majikan dan para pekerjanya sama ada mengikut segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh agama Islam atau sebaliknya.

 Islam telah menggariskan etika kerja dalam Islam seperti yang berikut:
  • Bekerja dengan azam mengabdikan diri kepada Allah SWT.
  • Bekerja dengan ikhlas dan amanah.
  • Bekerja dengan tekun dan cekap serta bersungguh-sungguh.
  • Bekerja dengan semangat gotong-royong atau kerjasama dan berpadu buah pikiran.
  • Berkerja dengan matlamat kebahgiaan manusia sejagat.

Azam Mengabdikan Diri Kepada Allah SWT

      Setiap manusia yang melakukan pekerjaan adalah untuk memenuhi keperluan diri, keluarga, masyarakar, Negara, ummah dan manusia sejagat. Segala pelaksanaan kerja yang dijalankan adalah bertujuan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Untuk mentaati Allah dan Rasul, setiap manusia mestilah mempunya kerja yang halal dan diredhaai Allah.
      Setiap pekerja juga mesti mempunyai azam, keyakinan, usaha yang berterusan, dedikasi, kreatif, berani, sabar, dan tawakal kepada Allah SWT demi mencapai keredhaan-Nya. Oleh itu, mutu kerja yang tinggi serta berkualiti dapat dicapai demi kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Ikhlas dan Amanah

      Para majikan dan pekerja perlu bekerja dengan ikhlas dan amanah. Bekerja dengan ikhlas bererti pekerjaan yang dilakukan perlulah dilaksanakan dengan kerelaan hati demi mencari keredhaan Allah SWT.setiap kerja yang diberikan sama ada sebagai majikan atau pekerja merupan satu amanah dan tanggungjawab yang dipikul sebaik mungkin.
      Islam amat menitikberatkan konsep amanah dalam kerja, iaitu tanggungjawab. Jika sesuatu pekerjaan tidak dilakukan dengan sebaiknya, nescaya manusia telah mengkhianati konsep amanah yang telah dipegang sejak dari alam roh lagi. Pengurusan organisasi kerja menurut falsafah Islam bertujuan melahirkan manusia yang produktif dari segi amal solehnya.

Tekun dan Cekap

      Ketekunan ialah satu sifat yang diperlukan oleh seseorang pekerja. Tekun dan cekap merupakan asas bagi menghasilkan prestasi mutu kerja yang tinggi. Pekerja yang tekun dan cekap sentiasa menyukai kerjanya tanpa jemu, tidak berputus asa serta tidak lalai daripada memberikan perhatian dan penelitian terhadap kerja yang dilakukan.
      Apabila kita hendak menilai seseorang pekerja, ciri yang terpenting ialah kecekapannya. Mutu kecekapan seseorang pekerja akan terus meningkat jika dirinya sanggup belajar atau menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan tugasnya secara berterusan. Majikan dan pekerja yang cekap dapat membuat keputusan tepat, bertindak dengan berkesan dan membuat kerja dengan baik.

Semangat Gotong-Royong dan Musyawarah

      Setiap individu merupakan sebahagian daripada masyarakat. Dalam sebarang perkhidmatan yang dilakukan sama ada secara rasmi ataupun tidak, sesorang pekerja mempunyai tanggungjawab kepada diri sendiri dan masyarakat. Kedua-dua tanggungjawab tersebut bersifat saling melengkapi dan hanya dapat disempurnakan dengan jayanya apabila seseorang itu mempunya semangat bekerjasama dan bergotong-royong.
      Sikap saling membantu antara satu sama lain dalam kalangan pekerja akan menimbulkan suasana kerja yang aman dan gembira serta akan meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan setiap pekerja. Bekerja secara berjemaah ini perlu berpegang kepada prinsip kesatuan matlamat, fikiran dan amal. Setiap pekerja akan bersedia untuk menyumbang dan menerima fikiran orang lain. Selain itu, pekerja dapat mencari, mengatasi dan menyelesaikan masalah yang ada itu secara berbincang atau bermusyawarah untuk mendapatkan penyelesaian yang berkesan.

Matlamat Kebahagiaan Manusia Sejagat

      Setiap individu dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab kemanusiaan sejagat. Mereka perlu mengetahui tangunggjawab terhadap diri dan orang lain agar dapat mengelak  daripada sebarang pergaduhan dan percanggahan pendapat yang boleh menggugat keamanan dan kebahagiaan manusia sejagat. Setiap pekerja perlu sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala tugas yang diamanahkan untuk disumbangkan segala kebajikan dan kesejahteraan kepada masyarakat.

KEPENTINGAN ETIKA

  1. Etika yang mantap mampu memupuk nilai dan sikap yang positif dalam sesebuah organisasi.
  2. Mampu membentuk ‘kawalan’ dalaman dalam kalangan warga organisasi dan mengukuhkan sistem kawalan luaran yang sedia ada dalam sesebuah organisasi.
  3. Membentuk budaya positif dalam organisasi kerana etika merupakan unsur utama yang membentuk budaya dan ianya amat penting bagi sesebuah organisasi.
  4. Salah satu usaha menuju kea rah kecemerlangan. Organisasi yang utuh etikanya akan menjadi organisasi cemerlang.
  5. Membentuk motivasi yang unggul, iaitu seseorang warga akan melakukan sesuatu yang baik untuk organisasi berdasarkan etika yang diperkenal dan diamalkan.
  6. Menggalakkan persaingan yang sihat. Oleh itu setiap warga organisasi akan terdorong untuk bersaing berdasarkan etika kerja yang disepakati.
  7. Membantu mengurangkan pelbagai bentuk penyelewengan dalam sesebuah organisasi.
  8. Pekerja-pekerja mampu menyumbang kearah pembentukan organisasi yang berintegriti dan dihormati. Integriti dan penghormatan merupakan lambing kemantapan sesebuah organisasi.


No comments:

Post a Comment

Pages

Designed by DPM2 PMJ | Supirman